Tuesday, 17 July 2012

Cerita Disebalik Aku Sutradara...

Sebelum ini aku tak berapa ambil kisah tentang kerjaya pengarahan ini kerana apabila aku berada di set penggambaran, selalunya aku hanya sebagai pelakon akan berehat sahaja sementara menunggu giliran aku untuk berlakon dan walaupun bekerja pusing jam tetapi tidaklah seteruk para krew produksi dan teknikal yang bertungkus lumus bekerja membanting tulang tanpa mengenal penat lelah, hujan dan panas demi untuk mencari sesuap nasi yang halal. Tidak pernah terlintas langsung difikiran aku betapa sukarnya dan beratnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengarah (sekarang aku hormat betul dengan semua pengarah2 drama dan filem).

Memang tidak dinafikan sebagai selebriti, kami amat dimanjakan oleh semua tenaga kerja dan selalunya banyak juga kelebihan dan keistimewaan yang diterima sehinggakan ada segelintir selebriti yang berani dan sanggup untuk 'buat perangai' dan menyusahkan seluruh tenaga produksi demi untuk kepentingan diri mereka sendiri (nasib baik hanya segelintir, kalau hampir semua macam itu alamatnya melingkuplah industri seni tanahair).

Apabila aku mendapat peluang untuk mengarah drama aku yang pertama ni, aku dapat rasakan betapa beratnya bahu aku untuk memikul tanggungjawab yang bukan hanya terhadap diri sendiri tetapi terhadap keseluruhan tenaga kerja yang akan bersama-sama dengan aku dan lebih2 lagi, ratusan ribu duit penerbit yang mesti aku perhalusi agar ianya berbaloi dengan hasil kerja aku nanti.

Hari pertama lagi aku telah diduga apabila Asst Director  aku menarik diri dari drama ini akibat sedikit salah faham dengan Pengurus Produksi (PM) dan oleh kerana ketiadaan penggantinya, aku bersama PM telah mengambil keputusan drastik untuk melantik Prop Master untuk menggantikan AD aku itu. Walaupun, agak kurang pengalaman, tetapi AD baru aku itu berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tugasnya demi untuk kebaikan dan kesenangan semua pihak.

Jadual artis yang terlibat yang amat padat (bukan semualah) adalah diantara perkara yang membuatkan aku agak stressed untuk melaksanakan tugas aku yang mana, aku terpaksa membuat perkara2 yang agak digeruni oleh sebahagian para pengarah seperti, melompat beberapa babak dalam satu masa (sampai 6 babak sekaligus dicombined) agar aku dapat percepatkan proses penggambaran (kalau tersilap percaturan atau tertinggal walaupun hanya satu shot, akan menyebabkan babak yang terlibat tidak dapat disambung dengan baik dan akhirnya mungkin terpaksa dibuang).

Itu belum lagi cerita yang mana, krew teknikal aku disergah di KK KLUB di Taman Melawati oleh member kelab tersebut hanya kerana kabel penyambung dari kamera ke monitor, dia takut terkena kejutan elektrik sedangkan kabel itu hanya menggunakan bateri kecil sahaja dan tidak mampu untuk mengalirkan tenaga yang kuat di dalam kolam renang yang besar dan kerana tidak mahu perkara itu berpanjangan juga untuk mengelakkan pihak pengurusan Kelab tersebut menghadapi masalah yang lagi besar, aku mengambil keputusan untuk membatalkan penggambaran pada masa itu dan beredar dari situ dalam keadaan yang agak memalukan walaupun bukan aku yang disergah tetapi krew teknikal adalah 'anak2 buah' aku, secara tidak langsung aku pun terasa akan tempiasnya.

Keadaan semakin tertekan apabila aku terpaksa menghabiskan babak2 yang melibatkan artis2 yang sudah ada agenda mereka yang tersendiri seperti Mazlan Anak Wayang (yang akan berkahwin pada masa itu) di dalam masa yang agak terhad tetapi pada masa yang sama, aku tidak mahu membuat kerja sambil lewa ataupun hanya sekadar melepaskan batuk ditangga dan terpaksa juga bekerja hampir 24jam demi untuk menyelamatkan budget penerbit, tidak termasuk terpaksa memikirkan beberapa alternatif lain bagi menggantikan beberapa babak di dalam drama tersebut yang terpaksa diubah atas sebab masa yang terhad tadi dan juga untuk menggurangkan perbelanjaan produksi tanpa memcacatkan keseluruhan cerita drama tersebut.

Kalau nak bercerita tentang masalah, sampai bila pun tidak akan habis dan aku sentiasa memandang semua yang telah berlaku ini dari sudut positif agar aku tidak serik untuk melangkah lebih jauh lagi di masa yang akan datang kerana yang paling penting, hasil 'air tangan' itu yang akan menjadi pengubat dan penawar diatas semua kepayahan dan keperitan yang telah dilalui. Aku bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dengan perkenanNYA, aku telah mendapat peluang yang sebegini besar, juga ucapan terima kasih kepada PM aku, Raja Mohammad (dah jadi penerbit filem dah, PAKPONG), Puan Hazniza (penerbit Saphire Screen), Para Panel RTM kerana kepercayaan mereka terhadap aku untuk menjadi Pengarah drama bersiri ini dan semua tenaga kerja juga para artis yang terlibat kerana kerjasama yang amat baik dan sifat kekeluargaan yang telah ditanam sejak dari awal, dapatlah aku menyiapkan 5 BUJANG didalam keadaan yang baik, diharapkan agar drama bersiri boleh diterima dengan baik oleh bakal para penonton apabila drama ini ditayangkan kelak di RTM, insyaALLAH.

Friday, 28 January 2011

Nilai Sebuah Surau...

Selama ni aku taklah terperasan sangat dengan perkara ni tetapi semalam aku seperti tersentap perasaan sedikit dan telah membuka mata aku tentang perkara yang aku pasti ramai umat islam di negara kita ni tidak sedar ataupun tahu tetapi malas untuk memperkatakannya...

Semalam tengahari aku ada meeting kat Plaza Damas dan telah berlangsung sehinggalah ke agak lewat petang, setelah habis, aku bergegas ke kaunter pertanyaan untuk bertanyakan tentang arah surau dan tahu apa yang telah diperkatakannya? 'Encik pergi ke tandas, surau disebelahnya', aku pun berjalanlah ke arah tandas dengan niat hati yang mahu ke surau, terpanggil aku untuk berkongsi rasa kurang senang aku tentang kedudukan surau yang ditempatkan bersebelahan dengan tandas!

Masalahnya bukan hanya di Plaza Damas tetapi juga di 1Utama (tempat lepak2 aku) yang selama ni aku tak terperasan tentang perkara ni, tidak seperti kedudukan surau di Central Market yang mana ditempatkan diatas bumbung bangunan tetapi jauh sekali dengan tandas yang ada disitu...

Kenapalah pihak pengurusan bangunan kurang peka tentang sensiviti agama apabila menyediakan surau bagi umat islam untuk mengerjakan solat tetapi diletakkan ditempat yang kurang elok dipandang oleh masyarakat yang mana bukan hanya umat islam yang akan lalu lalang untuk ke tandas malahan bangsa2 dari agama yang berlainan...

Tak pernah pulak aku nampak ada tempat pemujaan ataupun tempat2 sembahyang agama lain selain islam yang ditempatkan berdekatan dengan tandas... Entahlah, mungkin orang melayu ataupun orang islam dinegara kita ni agak bertolak ansur dan berlembut dengan apa jua keadaan yang dilalui mereka, bukannya apa, aku pun tak tahu kenapa tersentap sangat perasaan aku pada masa itu sehinggakan telah mendorong aku untuk berkongsi dengan kawan2 apa yang aku rasa sekarang ni...

Jauh di sudut hati, aku mengharapkan agar dapatlah surau2 yang telah disediakan di shopping complexes kononnya untuk kemudahan orang islam, dipindahkan ke tempat lain yang lebih terhormat memandangkan terlalu banyak kawasan kosong yang terdapat disitu dan tidaklah seperti menyediakan surau tersebut seperti melepaskan batuk di tangga sahaja...

Sunday, 28 February 2010

2 ALAM : Kutipan Filem Melayu RM12M?

Dah agak lama aku tidak menampilkan isu2 yang berkaitan dengan industri seni tanahair, mungkin kerana aku kurang berminat dengan isu2 klise yang sering digembar gemburkan untuk menarik simpati, melonjakan populariti ataupun mempunyai agenda2 tertentu yang hanya diketahui atau difahami oleh individu2 yang terbabit tetapi isu yang satu ni betul2 dapat membuatkan aku tampil sekali lagi setelah sekian lama 'menyepikan diri' untuk memberi pandangan peribadi tentangnya...

Sambil aku makan nasi kari kambing kegemaran aku di restoran yang berdekatan dengan rumah, terpandanglah KOSMO! AHAD yang memang diletakan oleh tokey restoran buat tatapan pengunjung2 restorannya... Selak punya selak, terbacalah satu artikel yang agak BERANI yang telah dipaparkan tentang cita2 seorang penerbit filem yang masih baru di dalam industri seni tanahair yang mahu mencipta sejarah perfileman tanahair dengan kutipan RM12 JUTA!

Mula2 tu bila aku baca artikel tersebut, aku beranggapan bahawa dR. Rozmey (penerbit filem 2 ALAM) hanya bermimpi di siang hari kerana untuk mencapai kutipan setinggi itu adalah satu perkara yang mustahil tetapi yang sebenarnya apabila difikirkan semula, mungkin jugak beliau mampu untuk meraih kutipan setinggi itu memandangkan tiada perkara yang mustahil diatas muka bumi ini asalkan mendapat keizinan daripada ALLAH SWT... Aku perhatikan sejak kebelakangan ini, sudah semakin ramai peminat2 filem Melayu ke pawagam2 untuk memberikan sokongan kepada penerbit2 filem tempatan yang bersungguh-sungguh untuk menghasilkan filem2 tempatan yang bermutu untuk dijadikan sajian istimewa buat para penonton setia filem Melayu...

Menurut Datuk Dr. Romzey Che Din, beliau mempunyai resepi yang tersendiri untuk melonjakkan filem 2 ALAM untuk menjadikan impian atau target beliau bagi mencapai kutipan RM12M itu satu kenyataan dan apa yang aku rasa, kemungkinan besar dR. Romzey akan menggunakan populariti beliau untuk dijadikan sebagai di antara point yang penting untuk ke arah itu dan sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, diharapkan agar beliau bijak mengatur strategi agar tidak terkandas dipertengahan jalan kerana para penonton zaman sekarang amat bijak untuk menilai dan sentiasa tampil memberikan komen2 yang amat bernas sehinggakan ada diantaranya tidak terfikir oleh para pembikin filem itu sendiri...

Aku mengambil kira salah satu daripada filem Melayu yang telah berjaya melonjak sehingga mencecah kutipan hampir RM8M, satu kutipan yang suatu ketika dulu telah dianggap mustahil oleh orang2 yang tidak mahu untuk maju ke hadapan, mulut kata mahu tetapi usaha HAMPEH! Adnan Sempit adalah sebuah filem yang simple tetapi mengandungi unsur2 atau resepi yang diminati oleh para penonton yang beranggapan filem adalah salah satu daripada medium hiburan masakini tanpa perlu untuk memerah otak memikirkan tentang kesudahan jalan cerita sesebuah filem tersebut... Shaheizy Sam, hero filem Adnan Sempit yang sebelum ini hanya dikenali sebagai dramatis dan seorang pelakon yang sentiasa serius dan fokus dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau (pernah bekerjasama di dalam drama bersiri IMPAK MAKSIMA dengannya), telah berjaya menduduki 'tangga' teratas di dalam senarai para pelakon tanahair sebagai hero pelakon filem 'TERMAHAL'! Sekiranya ketentuan ALLAH SWT sudah begitu, maka begitulah jadinya dan aku sentiasa mengharapkan agar filem2 Melayu akan sentiasa segar di dalam menghadapi saingan yang semakin hebat daripada filem2 luar yang semakin banyak membanjiri di pawagam2 tanahair.

Jalan cerita yang menarik dan menghiburkan adalah di antara kunci penting di dalam pembikinan sesebuah filem selain daripada isu yang mahu dikupas dan dipaparkan di dalam filem tersebut dan selebihnya barulah diambil kira para pelakon yang sesuai untuk memikul tanggungjawab terhadap watak2 yang diamanahkan kepada mereka dan bukannya sekadar tangkap muat ataupun memikirkan tentang populariti seseorang bintang itu mampu untuk menarik penonton ke pawagam kerana zaman untuk bersandarkan hanya dengan populariti bintang sudah berlalu!

Kepada dR. Rozmey, tahniah di atas semangat juang dan keyakinan yang begitu tinggi yang telah ditunjukkan kerana sekiranya kita tidak berkeyakinan dengan produk kita sendiri, siapa lagikan... Diharapkan agar filem beliau mampu untuk mencapai ke matlamat yang diimpikan dan sekiranya kecundang, diharapkan agar dR. Romzey jangan putus asa kerana 'perjuangan' sentiasa belum selesai selagi impian belum tercapai...

Buat saudaraku, pengarah jutawan AHMAD IDHAM, filem NIYANG RAPIK yang sedang ligat bermain di pawagam2 tanahair dan telah mendapat sambutan yang hangat dari para penonton setia filem2 Melayu, semoga berjaya dan diharapkan mampu untuk mencipta satu lagi sejarah baru di dalam dunia perfileman tanahair!

Thursday, 20 August 2009

Kronisme Di Dalam Industri Seni Tanahair...

Sebenar malas nak bercerita sangat tentang topik di atas ni tetapi apabila terlalu kerap ditanya oleh orang2 yang bukan dari industri aku, terfikirlah jugak nak berkongsi dengan kengkawan tentang apa yang sebenarnya yang telah dan sedang berlaku di dalam industri...

Soalan yang selalu diajukan kepada aku, kenapa bila orang ni buat drama atau filem, hanya orang yang terpilih dikalangan kengkawan mereka aje yang dapat berlakon bersama dan bukannya sekali dua ataupun secara kebetulan, boleh kata hampir kesemua projek2 yang mereka jalankan...

Kalau nak diikutkan, KRONISME adalah salah satu cabang yang MEMUSNAHKAN industri kerana sekiranya berterusan, ianya akan mengakibatkan orang2 industri itu sendiri akan kerugian apabila para penonton sentiasa disajikan dengan muka2 yang itu sahaja dan seolah olah hanya yang itu2 sahaja yang wujud di dalam industri tanahair yang mana akan menyebabkan orang yang menonton akan bosan kerana para penonton sekarang sudah advanced dan sentiasa mahukan KELAINAN dan sesuatu yang SEGAR di dalam indsutri seni tanahair...

Alasan2 yang biasa aku dengar adalah seperti 'lebih senang bekerja dengan orang2 itu sahaja sebab dah kenal ataupun dah biasa bekerjasama' tetapi sekiranya tidak diberikan peluang kepada orang2 lain, macam mana mereka boleh tahu yang mungkin mereka boleh ataupun tidak bekerja dengan orang2 baru kan...

Sepatutnya mereka mestilah mengamalkan sikap yang lebih TERBUKA dan PROFESSIONAL di dalam PEMILIHAN dan PENGAMBILAN tenaga kerja supaya ianya akan dapat memberikan nafas yang baru di dalam industri dan juga akan mewujudkan satu persaingan yang sihat di antara satu sama lain bagi membuktikan bahawa mereka layak untuk bergelar yang terbaik di antara yang terbaik tetapi situasi ini tidak berlaku sekarang ini yang mana bila kita lihat, lepas orang itu, orang itu lagi akan ke pentas untuk menerima pengiktirafan seolah olah hanya segelintir sahaja yang bagus kononnya (kerana kurang saingan) dan yang selebihnya hanya dianggap sebagai SAMPAH di dalam industri itu sendiri dan sepatutnya pemilihan pelakon2 mestilah mengikut kesesuaian untuk memegang sesuatu watak dan bukannya kerana 'kau kawan aku, kau ambiklah watak yang mana kau suka'...

Industri kita sebenarnya telah berjaya melahirkan ramai anak2 wayang yang bagus2 cuma apabila tidak diberikan peluang maka mereka ini akan TENGGELAM dan akan HILANG dari persada seni tanahair dan akhirnya tinggallah beberapa kerat aje yang bernasib baik untuk meneruskan perjuangan mereka di dalam industri sehinggalah para penonton akan jelak dan muak menonton muka2 itu sahaja dan akhirnya tetap akan menerima nasib yang sama apabila tidak mendapat sambutan dan akan dipinggirkan jua akhirnya oleh orang2 yang sentiasa mengambil kesempatan keatas populariti seseorang selebriti itu...

Wednesday, 27 May 2009

Kata TIDAK Kepada Chin Peng!

Menyentuh tentang hasrat Chin Peng untuk kembali ke pangkuan rakyat Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertegas bahawa tiada tempat baginya lagi disini adalah satu keputusan yang wajar diberikan pujian dan sokongan yang tidak berbelah bagi dari masyarakat Malaysia...

Aku memandang dari sudut sensitiviti masyarakat Malaysia yang mana dengan kepulangan Chin Peng nanti akan hanya mengeruhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini dan kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mengambil berat tentang perasaan keluarga 50,000 anggota keselamatan negara yang gugur semasa memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) dulu, pastinya akan terguris kerana dengan secara tidak langsung, pengorbanan mereka akan sia-sia sekiranya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia dan ini belum lagi dikira perasaan keluarga mangsa-mangsa kekejaman PKM dikalangan rakyat jelata pada masa itu...

Itu belum lagi kita pandang dari sudut ideologi konumisme yang akan dibawa pulang oleh Chin Peng yang mana berkemungkinan ianya akan menular kembali ke dalam masyarakat dan negara dan akhirnya nanti akan menimbulkan suasana tegang dan huru hara dan niatnya untuk kembali ke Malaysia untuk menghabiskan sisa hidupnya disini adalah satu permintaan yang tidak boleh di terima akal setelah apa yang telah diperlakukannya kepada rakyat dan negara juga hasrat yang sebenarnya, hanya dia dan Tuhan sahaja yang mengetahuinya...

Aku amat bersetuju dengan pendirian Menteri Pertahanan Malaysia tidak membenarkan Chin Peng untuk kembali ke Malaysia kerana ianya tidak mendatangkan keuntungan apa-apa kepada rakyat dan negara sebaliknya mungkin akan menyusahkan dan merugikan kita kelak!

Sunday, 10 May 2009

Sampah Ke Drama Melayu?

Aku terpanggil untuk memberi pandangan tentang tajuk ini setelah menonton FENOMENA SENI yang dihoskan oleh Aktor Rosyam Nor pada Jumaat yang lepas yang membincangkan tentang DOMINASI drama2 luar yang kebelakangan ini telah membanjiri TV tempatan sehingga secara tidak langsungnya telah menjejaskan kredibiliti produk tempatan dan telah dijadikan PERBANDINGAN oleh segelintir penonton dan akhirnya drama tempatan dipandang sebagai SAMPAH...

Di mana salahnya sekiranya drama2 terbitan tempatan tidak mencapai ke satu kualiti yang boleh dianggap berjaya dan menepati selera para penonton?

Soal tiada atau kekurangan budget yang telah diperuntukan bagi sesuatu drama itu bukanlah satu ukuran yang sebenarnya sehingga menjejaskan kualiti walaupun ianya juga memainkan peranan yang agak besar dalam pembikinan sesuatu drama...

Sekiranya di pandang kepada kemungkinan besar ketidakperihatinan para penerbit di dalam pemilihan artis2 yang sesuai untuk sesuatu watak di dalam drama mereka juga tidak boleh dijadikan pengukur untuk kejayaan sesuatu drama tersebut dan bagi aku, para pelakon akan dapat merealisasikan watak2 yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka sekiranya mereka dihidangkan skrip yang mempunyai kekuatan jalan cerita dan watak yang bersesuaian dengan seseorang pelakon tersebut.

Kita seharusnya sedar bahawa drama2 luar yang telah dibawa masuk ke dalam negara kita adalah diantara drama2 terbaik yang terdapat di negara mereka dan dipasarkan ke luar negara bagi tujuan perdagangan tetapi sedar tak kita bahawa di negara mereka pun mempunyai drama2 yang kurang berkualiti dan ada kalanya lebih teruk daripada drama tempatan yang dianggap sebagai SAMPAH oleh segelintir penonton kita...

Cuba bayangkan kalau kita mengekspot drama kita ke luar negara, sudah pasti kita akan membuat pemilihan dan menghantar di antara drama2 yang terbaik buat mereka dan semestinya di negara mereka juga akan timbul persoalan bahawa drama2 mereka tidak setanding dengan drama2 dari luar, seperkara lagi, drama2 luar yang ditayangkan di TV kita adalah drama2 2nd hand yang sudah terbukti 'kejayaannya' dan telah mendapat tempat dihati para penonton mereka dan ini akan membuatkan mereka lebih berkeyakinan untuk memasarkan drama2 mereka ke negara lain seperti Malaysia.

Adalah tidak wajar bagi segelintir penonton yang membezakan drama2 kita yang segar dan masih belum ditayangkan dengan drama2 luar yang sudah terbukti keberkesanannya dan sepatutnya kita mesti memandang secara keseluruhan industri kita dan industri luar kalau mahu dibuat perbandingan dan perlu kita melihat dari semua sudut.

Aku juga tidak menafikan yang terdapatnya drama2 tempatan yang rendah mutunya dan yang paling membimbangkan adalah kuantitinya yang agak besar dan di antara jalan penyelesaian yang terbaik sebenarnya terdapat di dalam tangan pihak stesen TV yang sewajarnya mengetatkan peraturan2 mereka sebelum membuat sebarang pembelian sesuatu drama tersebut dan seharusnya mereka bertegas dari peringkat akar umbinya lagi iaitu di peringkat pemilihan skrip bagi mengekang lambakan drama2 yang kebanyakannya tidak melepasi specification yang telah ditetapkan...

Sunday, 5 April 2009

Akademi Fantasia 7 PANAS!

Aku baru terbaca komen di http://minahkepochi.blogspot.com/ tentang Kak Fatti (Fatimah Abu Bakar) yang telah bangun dari kerusinya semasa sedang berlangsungnya konsert ke4 Akademi Fantasia untuk 'MEMBERIKAN SOKONGAN' kepada pelajar2 Akademi Fantasia 7 yang tidak habis2 dikritik oleh para pengkritik yang telah dilantik oleh pihak Astro.

Aku mengenali Kak Fatti sebagai seorang tenaga pengajar di dalam bidang LAKONAN dan MOTIVASI yang bagus dan sememangnya beliau adalah seorang pengajar yang mempunyai sifat2 KEIBUAN dan aku rasa dengan sifat2 semulajadi yang ada di dalam dirinya ini yang telah MENDORONG beliau untuk tampil ke depan MENYOKONG dan meminta para pengkritik untuk memberikan sedikit ruang dan 'nafas' kepada anak2 didiknya dan dengan ini, aku tidaklah terkejut apabila berlakunya perkara2 sebegini yang melibatkan kak Fatti kerana itu adalah pandangan dan hak beliau untuk memperkatakan sesuatu tentang anak2 didiknya.

Pada masa yang sama, aku tidak boleh menuding jari kepada para pengkritik menyalahkan mereka dengan apa yang sudah berlaku kerana apa yang dikomen oleh mereka terhadap pelajar2 Akademi Fantasia adalah benar belaka menerusi pengamatan aku sendiri menyaksikan persembahan mereka sejak dari konsert yang pertama lagi... Kebanyakan daripada mereka ini merasakan bahawa mereka sudah berada di puncak kejayaan sebagai seorang pelajar AF dan masing2 telah menunjukkan perangai2 yang kurang elok yang mana akhirnya akan menyebabkan mereka tidak disukai oleh para pengundi yang akan mengakibatkan mereka akan TRKELUAR di peringkat saringan ini.

Sikap berpuak-puak, kata mengata, terlalu emosional dan bermacam macam lagi kerenah yang telah ditunjukkan oleh mereka kepada para penonton yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka dari masa ke semasa telah menimbulkan satu situasi yang kurang sihat buat diri mereka sendiri dan juga kepada penganjur AF yang mana mereka sepatutnya mengambil peluang ini untuk menimba sebanyak ilmu yang dicurahkan oleh tenaga pengajar yang berkaliber untuk dijadikan BEKALAN apa sudah keluar dari AF kelak dan namanya pun PELAJAR AKADEMI FANTASIA, tumpukanlah perhatian kamu semua kepada pembelajaran dan bukannya selain daripada itu.

Adlin Aman Ramli adalah diantara para pengkritik yang jujur di dalam menjalankan tanggungjawab beliau sebagai seorang pengkritik yang sentiasa memberikan komen2 yang bernas dan ikhlas (walaupun ada kalanya PEDAS tetapi aku boleh terima kerana memang betul pun dengan apa yang dikatakannya) berdasarkan persembahan pelajar2 setiap minggu, sepatutnya dipandang dan diambil oleh pelajar2 sebagai satu komen yang membina dan gunakan ia sebagai satu kata2 semangat untuk memperbaiki kelemahan2 yang terdapat di dalam diri dan persembahan mereka di masa yang akan datang.

Bukan mahu menyokong sesiapa cuma pada pandangan aku, HAFIZ dan ISMA mempunyai karisma mereka yang tersendiri selain daripada kualiti vokal yang baik dan juga mampu untuk memberikan persembahan yang bertenaga dan menghiburkan dan sewajarnyalah mereka ini boleh melangkah sehingga ke peringkat akhir AF dan diharapkan agar mereka akan mendapat tempat dihati para pengundi bagi menempah tiket ke FINAL nanti.

Thursday, 26 March 2009

Musim Ke7 Akademi Fantasia

Akademi Fantasia 7 akan memasuki persembahan minggu yang ke3 di mana kita akan dapat menyaksikan siapakah yang bakal meninggalkan lantai persembahan yang menjadi platform buat anak2 muda ini untuk mempamerkan kelebihan dan kekuatan masing2 untuk bergelar JUARA AF7 setelah kita menyaksikan Nas Adila Mohd Dan aka ADILA dari Johor Bharu yang juga merupakan artis rakaman terpaksa melupakan perjuangannya di dalam AF7 setelah mendapat undian yang terendah pada minggu lepas.

Dengan adanya program sebegini secara tidak langsung akan dapat memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mempunyai keinginan dan semangat yang berkobar-kobar untuk bergelar SELEBRITI, mempersembahan bakat yang terpendam atau terendam selama ini dan secara langsung, mengharapkan agar kehadiran mereka di dalam industri seni tanahair akan mendapat perhatian dan 'restu' daripada masyarakat.

Bagi aku, AF7 ini telah berjaya di peringkat pemilihan bakal pelajar kerana sebahagian besar daripada mereka sememangnya mempunyai bakat dari segi vokal (tahniah para juri) cuma apa yang aku kurang senangi, apabila terdapatnya segelintir daripada mereka ini yang sudah merasakan bahawa mereka sudah bagus apabila berjaya terpilih sebagai PELAJAR AF7 dan tdak kurang juga ada yang terlalu EMOTIONAL apabila menghadapi situasi2 sukar semasa dalam tempoh pembelajaran di dalam AF.

Memenangi hati para penonton untuk mengundi mereka adalah agenda yang sebenarnya di dalam pertandingan sebegini dan bukan hanya dengan kekuatan vokal sahaja sudah cukup memadai untuk meraih undi kerana mesti difahami, AKADEMI FANTASIA bukanlah satu tempat untuk hanya beradu KEKUATAN dan KEHEBATAN vokal masing2 tetapi juga merangkumi tingkah laku, keperibadian dan pergaulan para pelajar yang sentiasa menjadi tontonan para pengundi untuk menentukan siapakah yang sebenarnya layak untuk menang dan sebagai contohnya, MAWI yang sering melakukan kesilapan dulu pun mampu untuk bergelar JUARA AF kerana AURA dan KEPERIBADIAN beliau yang tidak ada pada para pelajar saingannya pada masa itu.

Buat sesiapa sahaja yang mahu mengejar impian untuk bergelar SELEBRITI, sebenarnya tanggungjawab sebagai PUBLIC FIGURE adalah suatu perkara yang berat dan tanpa disedari, sebahagian daripada hidup para selebriti adalah KEPUNYAAN masyarakat dan setiap langkah kita akan diperhatikan dan tidak kurang pula ada yang tidak menyenangi akan kehadiran kita di dalam industri ini yang sentiasa menunggu peluang untuk MENJATUHKAN kita apabila tersalah langkah yang kita ambil.

Kekuatan dalaman dan luaran sebagai seorang selebriti mestilah selari agar kita mampu untuk menjadi seorang selebriti yang dihormati, disegani dan berkekalan untuk suatu jangkamasa yang lama dan tidak hanya sekadar MELEPASKAN BATUK DI TANGGA SAHAJA.

Saturday, 14 March 2009

Tiara Jacquelina OK!

Apabila diumumkan sahaja nama Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai Pengetua Akademi Fantasia yang ke7, pelbagai reaksi daripada luar telah didengari, ada yang setuju dan ada jugak yang merasakan Tiara TIDAK SESUAI LANGSUNG untuk memegang jawatan terpenting tersebut.

Sepatutnya jawatan tersebut diberikan kepada orang yang LEBIH BERPENGALAMAN kalau mahu dibandingkan dengan Datin Seri yang dikatakan TIDAK BEGITU MENONJOL & TIDAK BEGITU BERKARISMA untuk bergelar sebagai Pengetua AF.

Pada pandangan aku, mungkin Datin Seri kurang berpengalaman kalau mahu dibandingkan dengan beberapa nama besar yang termasuk di dalam senarai pendek pemilihan untuk jawatan Pengetua tetapi beliau mempunyai KREDIBILITI & KELEBIHANNYA yang tersendiri yang tidak ada pada calon2 yang lain dan aku rasa beliau mampu untuk memikul tanggungjawab berat itu walaupun mendapat kritikan hebat dari berbagai sudut.

Mungkin jugak timbulnya isu sebegini kerana ada yang IRI HATI atau pun tidak suka dengan diri Datin Seri sendiri dan terus menghukum Datin Seri tanpa menjalani dulu proses 'PERBICARAAN' dan pemilihan calon2 untuk memegang jawatan Pengetua AF ini pastinya telah dijalankan dengan teliti oleh PARA JURI yang telah diberikan kepercayaan dan yang telah diamanahkan oleh pihak ASTRO untuk memilih siapa yang benar2 layak untuk menduduki KERUSI PANAS tersebut.


Bukannya aku mahu menyebelahi Datin Seri kerana aku mengenali beliau sebagai seorang insan yang mempunyai budi pekerti yang baik tetapi seharusnya kita berilah peluang dan ruang kepada Datin Seri untuk membuktikan yang beliau SEMEMANGNYA layak untuk bergelar Pengetua AF7 ini dan janganlah terlalu MENGHENTAM dan memberikan KRITIKAN PEDAS kerana ianya baru nak bermula dan kepada Datin Seri Tiara Jacquelina, GOOD LUCK!

Tuesday, 10 March 2009

Harta Pusaka Bawa Bencana?

Aku terpanggil untuk menulis tentang isu harta pusaka ini setelah mendengar keluhan daripada salah seorang sahabat aku yang sedang menghadapi masalah di dalam urusan pembahagian harta peninggalan arwah ayah beliau yang tidak sempat untuk menyiapkan surat wasiat sebelum meninggal dunia... Perebutan di antara mereka adik beradik telah berlarutan sehinggalah ke tahap memutuskan TALI PERSAUDARAAN yang sememangnya mustahil untuk terjadi kerana secara logiknya, terputuslah hubungan di antara mereka tetapi tidak kepada pertalian adik beradik sesama mereka.

Sesuatu perkara yang amat mengecewakan disebabkan harta dunia yang tidak boleh dibawa ke liang lahat, mampu untuk menyebabkan satu pertalian darah yang telah di anugerahkan dan diamanahkan kepada kita oleh ALLAH SWT, rosak dan terkulai di pertengahan jalan.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Arwah ayah mereka? Diri mereka sendiri kerana tiadanya tolak ansur di antara satu sama lain?

Mungkin ada yang akan menyalahkan arwah ayah mereka kerana tidak menyediakan surat wasiat tentang pembahagian harta yang akan ditinggalkan dan dibahagikan kepada yang berhak tetapi masalahnya, ajal maut adalah ketentuan ALLAH SWT dan kita tak tahu bilakah ajal akan datang menjemput kita dan ada jugak kes di mana surat wasiat telah disediakan sebelum kematian tetapi menimbulkan satu masalah lain, tidak puas hati dengan pembahagian harta peninggalan tersebut... Sikap TOLAK ANSUR DAN HORMAT MENGHORMATI wajib ada di dalam diri mereka bagi menghadapi situasi genting sebegini dan cuba untuk mencari jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah pembahagian harta pusaka tersebut agar dapat mengelakkan ikatan sesama mereka daripada 'terkubur' begitu sahaja.


Bagi aku, bukan harta pusaka tersebut yang menjadi masalah tetapi lebih kepada sikap manusia yang tamak dengan kebendaan dan terlalu mengejar harta dunia, yang telah mengaburi mata mereka sehingga mengambil tindakan yang di luar batas2 KEMANUSIAAN DAN KEWARASAN kerana sanggup membuang 'darah daging' sendiri dan ada jugak kes2 di mana mereka sanggup berparang dan berbunuhan kerana terlalu mengikutkan NAFSU SYAITAN.