Tuesday, 17 July 2012

Cerita Disebalik Aku Sutradara...

Sebelum ini aku tak berapa ambil kisah tentang kerjaya pengarahan ini kerana apabila aku berada di set penggambaran, selalunya aku hanya sebagai pelakon akan berehat sahaja sementara menunggu giliran aku untuk berlakon dan walaupun bekerja pusing jam tetapi tidaklah seteruk para krew produksi dan teknikal yang bertungkus lumus bekerja membanting tulang tanpa mengenal penat lelah, hujan dan panas demi untuk mencari sesuap nasi yang halal. Tidak pernah terlintas langsung difikiran aku betapa sukarnya dan beratnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengarah (sekarang aku hormat betul dengan semua pengarah2 drama dan filem).

Memang tidak dinafikan sebagai selebriti, kami amat dimanjakan oleh semua tenaga kerja dan selalunya banyak juga kelebihan dan keistimewaan yang diterima sehinggakan ada segelintir selebriti yang berani dan sanggup untuk 'buat perangai' dan menyusahkan seluruh tenaga produksi demi untuk kepentingan diri mereka sendiri (nasib baik hanya segelintir, kalau hampir semua macam itu alamatnya melingkuplah industri seni tanahair).

Apabila aku mendapat peluang untuk mengarah drama aku yang pertama ni, aku dapat rasakan betapa beratnya bahu aku untuk memikul tanggungjawab yang bukan hanya terhadap diri sendiri tetapi terhadap keseluruhan tenaga kerja yang akan bersama-sama dengan aku dan lebih2 lagi, ratusan ribu duit penerbit yang mesti aku perhalusi agar ianya berbaloi dengan hasil kerja aku nanti.

Hari pertama lagi aku telah diduga apabila Asst Director  aku menarik diri dari drama ini akibat sedikit salah faham dengan Pengurus Produksi (PM) dan oleh kerana ketiadaan penggantinya, aku bersama PM telah mengambil keputusan drastik untuk melantik Prop Master untuk menggantikan AD aku itu. Walaupun, agak kurang pengalaman, tetapi AD baru aku itu berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tugasnya demi untuk kebaikan dan kesenangan semua pihak.

Jadual artis yang terlibat yang amat padat (bukan semualah) adalah diantara perkara yang membuatkan aku agak stressed untuk melaksanakan tugas aku yang mana, aku terpaksa membuat perkara2 yang agak digeruni oleh sebahagian para pengarah seperti, melompat beberapa babak dalam satu masa (sampai 6 babak sekaligus dicombined) agar aku dapat percepatkan proses penggambaran (kalau tersilap percaturan atau tertinggal walaupun hanya satu shot, akan menyebabkan babak yang terlibat tidak dapat disambung dengan baik dan akhirnya mungkin terpaksa dibuang).

Itu belum lagi cerita yang mana, krew teknikal aku disergah di KK KLUB di Taman Melawati oleh member kelab tersebut hanya kerana kabel penyambung dari kamera ke monitor, dia takut terkena kejutan elektrik sedangkan kabel itu hanya menggunakan bateri kecil sahaja dan tidak mampu untuk mengalirkan tenaga yang kuat di dalam kolam renang yang besar dan kerana tidak mahu perkara itu berpanjangan juga untuk mengelakkan pihak pengurusan Kelab tersebut menghadapi masalah yang lagi besar, aku mengambil keputusan untuk membatalkan penggambaran pada masa itu dan beredar dari situ dalam keadaan yang agak memalukan walaupun bukan aku yang disergah tetapi krew teknikal adalah 'anak2 buah' aku, secara tidak langsung aku pun terasa akan tempiasnya.

Keadaan semakin tertekan apabila aku terpaksa menghabiskan babak2 yang melibatkan artis2 yang sudah ada agenda mereka yang tersendiri seperti Mazlan Anak Wayang (yang akan berkahwin pada masa itu) di dalam masa yang agak terhad tetapi pada masa yang sama, aku tidak mahu membuat kerja sambil lewa ataupun hanya sekadar melepaskan batuk ditangga dan terpaksa juga bekerja hampir 24jam demi untuk menyelamatkan budget penerbit, tidak termasuk terpaksa memikirkan beberapa alternatif lain bagi menggantikan beberapa babak di dalam drama tersebut yang terpaksa diubah atas sebab masa yang terhad tadi dan juga untuk menggurangkan perbelanjaan produksi tanpa memcacatkan keseluruhan cerita drama tersebut.

Kalau nak bercerita tentang masalah, sampai bila pun tidak akan habis dan aku sentiasa memandang semua yang telah berlaku ini dari sudut positif agar aku tidak serik untuk melangkah lebih jauh lagi di masa yang akan datang kerana yang paling penting, hasil 'air tangan' itu yang akan menjadi pengubat dan penawar diatas semua kepayahan dan keperitan yang telah dilalui. Aku bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dengan perkenanNYA, aku telah mendapat peluang yang sebegini besar, juga ucapan terima kasih kepada PM aku, Raja Mohammad (dah jadi penerbit filem dah, PAKPONG), Puan Hazniza (penerbit Saphire Screen), Para Panel RTM kerana kepercayaan mereka terhadap aku untuk menjadi Pengarah drama bersiri ini dan semua tenaga kerja juga para artis yang terlibat kerana kerjasama yang amat baik dan sifat kekeluargaan yang telah ditanam sejak dari awal, dapatlah aku menyiapkan 5 BUJANG didalam keadaan yang baik, diharapkan agar drama bersiri boleh diterima dengan baik oleh bakal para penonton apabila drama ini ditayangkan kelak di RTM, insyaALLAH.

2 comments:

doreen sutton / adorin ariff said...

salam abg lan - xsangka, masih aktif berblog hihi..doreen dh stop lama dh..rs nk mulakan balik jeh ..all the best!

Ofa Fafa Aufa said...

Humm..Aslm.boleh tnya tak?Sya ni sbnrnya tgh buat kerja yg ckg bagi.Minta jwb dgn segera yer .'' Apakah kelayakan akedemik atau iktisas Dato'Eizlan Yusof'' .dah search kat intnet tapi takde -,- jwb yer.I really need it .